Apabila meninggalnya seseorang anak Adam itu, sebenarnya ia masih lagi ada hubungan dengan orang yang masih hidup, terutamanya dengan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan keampunan dan kesejahteraan baginya. Demikian juga kita dianjurkan agar memberi salam kepada ahli kubur apabila kita melewati sesebuah perkuburan, sudah pasti ia membayangkan ada hubungannya antara orang yang masih hidup dengan orang yang sudah meninggal dunia. Di dalam sebuah hadis ada diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seseorang yang menyampaikan salam kepadaku (setelah aku wafat) melainkan Allah akan mengembalikan roh-ku sehingga aku pun bisa membalas salam orang tersebut.” (H.R. Imam Abu Dawud)
Ini bermaksud amalan menziarahi pusara adalah satu amalan yang baik selagi kita mematuhi adab-adab sewaktu mengunjunginya. Jadikan amalan menziarahi pusara sebagai satu amalan yang bermanfaat untuk hidup berwaspada dan lebih meyakini akan kehidupan di 'alam sana'.
Antara adab-adab yang perlu dipatuhi sewaktu menziarahi kubur / pusara ialah;
1.Membetulkan Tujuan Ziarah Kubur.
Tujuan ziarah kubur ialah supaya ia memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil."
dan maksud sabda baginda lagi, "Maka ziarahlah kubur kerana sesungguhnya ia mengingatkan kalian kepada kematian."
2. Tidak Melakukan Perayaan Di Perkuburan.
Perayaan adalah satu sambutan di mana orang-orang berhimpun pada tarikh tertentu dan kadangkala ia diulang-ulang pada kekerapan tertentu, umpama setiap tahun. Islam melarang kita dari menjadikan perkuburan atau amalan ziarah kubur sebagai satu perayaan.
Maksud Sabda rasulullah SAW:"Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana jua kalian berada."
Hadis ini merujuk kepada larangan Rasulullah SAW menjadikan kunjungan ke kuburnya sebagai tempat perayaan. Pun begitu ia juga boleh difahami bahawa baginda juga tentunya melarang menziarahi mana-mana kubur / pusara dan dikaitkan dengan sesuatu 'perayaan'.
Merujuk kepada hadis di atas, sama-samalah kita merenung semula amalan ziarah kubur pada pagi Hari Raya Aidil Fitri. Sedar atau tidak, ia sebenarnya adalah satu perayaan di mana kaum keluarga berhimpun pada pagi 1 Syawal setiap tahun di perkuburan kaum keluarga yang tersayang. Apakah amalan ini adalah amalan yang yang dilarang sebagaimana maksud hadis bagind atersebut?
3. Mengucapkan Salam.
Apabila memasuki kawasan perkuburan Muslim, ucapkanlah salam kepada mereka.Amalan memberi salam ini sebaik-baiknya dilakukan dalam keadaan berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi itu.
4. Tidak Mengucapkan Perkataan Yang Keji Dan Batil.
Perkataan keji dan batil terdiri dari tiga jenis:
1.Berbicara urusan dunia seperti naik turun harga saham, kenaikan harga barang runcit dan petrol, urusan pejabat, urusan keluarga dan lain-lain. Semua perbicaraan ini akan menjauhkan penziarah dari tujuan ziarah, iaitu “…melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat.” Perkataan seumpama ini menzalimi diri penziarah itu sendiri.
2.Mencela, mengkritik dan menyebut aib jenazah yang dikebumikan di perkuburan itu. Perkataan seumpama ini menzalimi jenazah dan dosa kesalahan akan kembali kepada penziarah itu sendiri.
3.Berdoa kepada jenazah, meminta sekian-sekian hajat dan perlindungan dengan harapan jenazah dapat memakbulkan doanya atau jenazah memberi pengaruh kepada Allah agar Allah memakbulkan doanya. Ini menzalimi Allah SWT kerana doa adalah hak Allah, kepada Allah jua kita memanjatkan doa dan kepada Allah jua kita mengharapkan ia dikabulkan.
5.Tidak Membaca al-Quran Di Kubur.
Perkuburan bukan tempat membaca al-Quran, kerana itulah Rasulullah SAW menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya.Maksud hadis rasulullah SAW: "Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah"
Selain itu telah diterangkan sebelum ini jika seseorang ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada sesiapa yang sudah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana jua. Dia tidak perlu duduk di sebelah jenazah di perkuburannya.
6.Tidak Bersandar Kepada Kubur / Duduk Atas Kubur.
Maksud Sabda Rasulullah SAW: “Jangan menyakiti ahli kubur ini" Dan Sabda baginda seterusnya yang bermaksud: "Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur."
7.Di larang memijak di atas kubur.
Boleh berjalan di antara dan di sekitar kubur namun jangan di atas kubur.
8.Tidak Memakai Kasut Atau Selipar.
Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.”Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah SAW, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.
Oleh itu apabila berjalan di antara kubur atau di celah-celah kubur, tanggalkanlah kasut atau selipar. Jika kawasan perkuburan itu tidak sesuai untuk berjalan tanpa alas kaki, maka memadai berdiri di tepi kawasan kubur. Ini kerana manfaat ziarah kubur dapat diperolehi oleh penziarah dengan berdiri di tepi perkuburan, tidak semestinya di tengah-tengah perkuburan.
9.Dilarang meratapi disebabkan oleh perasaan yang amat berduka cita di atas pemergian orang yang disayangi.
Rasulullah SAW menegah perbuatan meratapi di atas kematian kerana perbuatan itu akan menyebabkan mayat diseksa pada hari kiamat kelak. Diriwayatkan daripada Mughirah bin Syu'bah bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang meratapi mayat, maka mayat itu akan diseksa pada hari kiamat." (Hadis riwayat Muslim).
Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Mayat berasa terseksa dalam kuburnya kerana diratapi" (Hadis riwayat Muslim).
10.Disunatkan berdoa
Disunatkan berdoa dengan cara berpaling ke arah kiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan dan mohon kepada Allah semoga roh ahli kubur dilimpahi dengan rahmat, keselamatan, kesejahteraan dan sebagainya.
Demikianlah beberapa adab yang harus dipatuhi sewaktu mengunjungi pusara / kubur . Cukuplah jika kunjungan kita menjadikan kita lebih mengingati kematian, dan berwaspada dalam setiap tindakan, cukuplah jika kunjungan kita bakal menebalkan lagi buku keimanan dihati...dan meyakini bahawa suatu ketika kita juga bakal menghuni daerah sepi ini.
No comments:
Post a Comment