Sunday, September 26, 2010

Siapakah yang Mulia...?

Ingin sekali berkongsi sebuah ceritatera yang diriwayatkan dari sebuah hadis Rasulullah SAW pada pertemuan kita kali ini.  Pada suatu ketika, Rasululllah SAW dan para Sahabat berkumpul bersama sambil berbincang sesuatu yang sememangnya menjadi agenda selalu. Musyawwarah! Setiap saat Rasulullah SAW sentiasa mementingkan perbincangan...bersama para Sahabat baginda.

Dalam pertemuan itu baginda bertanya kepada para Sahabatnya; "Siapakah hamba Allah yang mulia di sisi Allah?" Para Sahabat terdiam. Lalu salah seorang daripada mereka berkata: "Para Malaikat, ya Rasulullah." Baginda Rasulullah SAW berkata: "Ya para Malaikat mulia, mereka sentiasa dekat dengan Allah, mereka sentiasa bertasbih kepada Allah, tentulah mereka mulia. Tetapi bukan itu yang aku maksudkan".
Para Sahabat kembali terdiam. Kemudian salah seorang Sahabat baginda yang lain pula menjawab: "Tentulah para Nabi yang mulia." Baginda Rasulullah SAW tersenyum sambil memandang wajah Sahabatnya itu. Baginda berkata: "Ya para Nabi mulia, kerana mereka adalah utusan Allah, mereka diberi segaka keistimewaan olehNya, bagaimana mereka tidak mulia....mereka mulia. Tetapi ada lagi yang lainnya".
Para Sahabat terdiam lagi dan dalam hati masing-masing tertanya-tanya: Siapa lagi orang yang mulia? Kemudian salah seorang Sahabat bertanya: "Apakah kami Sahabatmu yang mulia? Rasulullah SAW tersenyum dan baginda melihat wajah para Sahabatnya satu persatu....lalu baginda bersabda: "Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku...kalian banyak membantu perjuanganku....tentulah kalian mulia...tetapi....masih ada yang lain".
Baginda Rasulullah SAW kemudiannya tundukkan wajahnya....Bayangkanlah, tiba-tiba baginda menangis di hadapan para Sahabatnya. "Mengapa kau menangis wahai Rasulullah?", tanya para Sahabat. Rasulullah SAW kemudiannya mengangkatkan wajahnya...para Sahabat melihat airmata baginda jatuh berlinangan membasahi pipi dan janggutnya. Baginda berkata: " Mereka adalah manusia yang akan lahir jauh selepas kewafatanku nanti, mereka sangat mencintai Allah, merekalah yang mulia itu...merekalah UMATKU...". Semua Sahabat menangis.
Tanyalah pada diri sendiri. Siapakah yang dirindukan oleh Rasulullah SAW dalam riwayat itu? Siapakah yang didoakan oleh baginda setiap waktu?
Sebenarnya jauh di sudut hati baginda, sentiasa mengingati dan merindui umatnya...sentiasa mendoakan kemuliaan untuk umatnya...Meskipun pada saat hayat baginda...kita belum ada, namun baginda telahpun merindui dan mendoakan kita....
Sudahkah kita mencintai baginda? Sudahkah kita menjadi umatnya yang layak untuk dirindui oleh baginda? Tanyalah diri! Siapakah ikon kita selama ini? Siapakah idola kita saat ini? Sudahkah kita mengajarkan anak-anak kita, anak-anak didik kita untuk mencintai Rasulullah SAW? Berapa banyakkah kita berselawat kepadanya?
Lihat di sekeliling kita, betapa ramai yang sudah melupakan baginda, betapa ramai yang lalai dari mencintai baginda, bahkan betapa ramai yang terlalu bangga dengan artis-artis pujaan mereka, bintang-bintang bola sepak kegemaran mereka...
Kalaulah kita tidak malu untuk mengaku bahawa kita umat Nabi Muhammad SAW, cuba kita tanya : Sudah berapa lamakah kita melupakan baginda? Sudahkah ada airmata yang berlinang kerana rindu kita kepadanya?
Ayuh, hadirkan cinta kita kepada Rasulullah SAW, buktikan bahawa kita juga amat merinduinya, junjunglah segala Sunnahnya, amalkan segala yang sangat disukainya...perbanyakkanlah selawat kepada baginda...mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang dirindukan dan didoakan oleh baginda...Amin.


Ya Rasulullah....ya habiballah...aku rindu kepadamu...

No comments:

Post a Comment