Dakwah merupakan kewajipan yang dipertanggungjawabkan untuk umat
islam seluruhnya tanpa kecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing
seperti Firman Allah yang bermaksud:
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya
kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan”
Ayat di atas menerangkan dua perkara, iaitu tentang kebaikan umat
Islam(Khaira Ummatin) dan kebaikan umat Islam itu terletak kepada tugasnya
menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran.
Menurut Imam Al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar
sebagai garis pemisah di antara orang beriman dengan orang munafik. Ia
merupakan ciri orang beriman yang paling istimewa yang membezakannya dengan
golongan munafik. Apabila umat Islam melalaikan tanggungjawab berdakwah maka
Allah akan mengharamkan kedudukannya sebagai Khaira Ummatin(sebaik-baik umat),
kerana Allah memberikan status umat mulia ke atas umat Islam kerana perlaksanan
terhadap tanggungjawab dakwah.
Tanggungjawab berdakwah diletakkan ke atas setiap muslim sama ada
lelaki atau perempuan, baligh, berakal, sama ada ulamak atau tidak, tetapi
peranan ulamak lebih ditekankan dalam memperincikan ajaran agama kerana
pengetahuan mereka yang luas. Ia boleh dilakukan sama ada secara perseorangan
sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud:
“Maka hendaklah yang telah menyaksikan antara kaum memyampaikan
ilmu kepada orang yang tidak hadir” (Hadis Riwayat Bukhari; Kitab Sahih
Bukhairy)
Dan juga boleh dilakukan berorganisasi terutama apabila terdapat
aspek-aspek kerja dakwah yang tidak dapat dilakukan secara individu sepertimana
Firman Allah yang bermaksud:
“Hendaklah ada diantara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan dan
menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah
orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Ali Imran; 104)
Oleh itu Guru Pendidkan Islam (GPI)
sebagai Da`ie adalah golongan terkehadapan dalam mengurus aktiviti dakwah Islam
di sekolah menyeru kepada Islam yang sebenar dengan mengamal dan menghayatinya dalam aspek kehidupan
No comments:
Post a Comment