Tuesday, June 26, 2012

PENGHAYATAN HARI PEMBALASAN MENJANA INSAN KAMIL


Hari Pembalasan dikenali juga sebagai hari kiamat. Menurut kamus Dewan, hari Kiamat ialah hari apabila manusia dibangkitkan daripada mati untuk dihisab segala amalannya dan diberi pembalasan. Ia dinamakan juga sebagai yaumiddin iaitu srabagaimana dalam firman Allah dalam ayat 3 surah al-Fatihah (Maliki Yaumiddin ) yang bermaksud: “(Allah) yang menguasai Hari Pembalasan ... Yang dimaksud dengan Yang Menguasai Hari Pembalasan ialah pada hari itu Allah lah yang berkuasa, segala sesuatu tunduk kepada kebesaran Nya sambil mengharapkan anugerah dan TAKUT kepada seksaan Nya. Hal ini mengandungi erti JANJI UNTUK MEMBERI PAHALA terhadap perbuatan yang baik dan ancaman terhadap perbuatan yang buruk.
Allah swt berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 114

Maksudnya; “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan bersegera mengerjakan pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk orang yang soleh.”
Manakala maksud Insan Kamil pula merujuk kepada insan yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan dan sangat cemerlang. Bagi menjana insan kamil ia memerlukan kepada hadaf atau tujuan kecemerlangan secara bersepadu iaitu kecemerlangan di dunia dan juga kecemerlangan di akhirat. Sebagai insan dan individu sudah pastilah kita memerlukan kecemerlangan di dunia dalam segala genap bidang yang diceburi kerana habuannya sudah pasti akan diperolehi dengan pelbagai bentuk ganjaran, pangkat, nama dan sebagainya. Kecemerlangan di dunia tidak akan lebih bernilai jika di akhirat kelak kita dipandang hina oleh Allah SWT. Apa yang kita mahukan adalah kecemerlangan di dunia dan menghasilkan kegemilangan di akhirat kelak, insya Allah .
 
GAMBARAN HARI PEMBALASAN

Hari Pembalasan merupakan satu peristiwa yang diakui oleh akal dan fitrah manusia, demikian juga ia merupakan hal yang dijelaskan oleh kitab suci al-Quran. Ia juga merupakan hal yang didakwahkan para Nabi dan Rasul saw. Demikian ia menjadi suatu keharusan bagi orang-orang yang beriman untuk beriman dan menghayati hari pembalasan. Bahkan ia adalah salah satu rukun iman yang disebutkan dalam hadis yang amat terkenal, iaitu hadis Jibril ‘alaihis salam ketika beliau bertanya kepada Nabi saw tentang islam, iman ihsan dan hari akhirat,
قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِيمَانِ. قَالَ « أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ ». قَالَ صَدَقْتَ.
Jibril bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi was sallam, “Beritahukanlah aku apa itu iman? Nabi saw menjawab, “(Iman adalah) Engkau beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para utusanNya, hari akhirat (pembalasan) dan engkau beriman pada qodho’ dan qodar yang baik dan buruk”
Allah swt telah menyebutkan banyak nama hari pembalasan ini untuk menunjukkan betapa agung/tingginya perkara tersebut sebagai peringatan kepada para hambaNya agar mereka takut akan datangnya hari tersebut. Tentu saja takut yang dimaksudkan di sini adalah takut yang berbuah amal.
Kembali menginsafi Sifat asal roh kita adalah dekat dengan Allah.  Terdapat beberapa alam yang terpaksa dilalui oleh setiap manusia.
1)    Alam Roh  (alam perjanjian)
2)    Alam Rahim (alam kasih sayang) Tempohnya hanya 9 bulan 10 hari sebelum berhijrah ke tempoh kelahiran dari alam kasih sayang
3)    Alam Dunia (alam melakukan amal baik atau buruk)  Tempoh maksima 60 – 70 thn sebelum menuju ke berpindah ke tempoh kematian
4)    Alam Barzakh (alam perpisahan roh dan jasad) 
        Alam ini ialah  alam sebelum menuju kepada tempoh kebangkitan semula. Alam ini ialah tempat persinggahan sebelum menuju ke tempoh pengakhiran iaitu tempoh pembalasan
5)    Alam mahsyar ( alam perhitungan dan pembalasan) di mana di alam inilah adanya Syurga &  Neraka.  Inilah destinasi terakhir dan sebagai manusia yang dilahirkan sebagai hamba Allah . Jika baik amalannya semasa di dunia maka baiklah pembalasannya, tetapi jika buruk amalannya maka buruklah juga pembalasannya. Semua manusia akan diberi pembalasan walau sebesar zarah sekalipun perbuatannya. Sebagaimana firman Allah daripada Surah Az-zariyat ayat 5-6 :


Yang bermaksud: “Sungguh, apa yang dijanjikan kepadamu pasti benar, dan sungguh, (hari) pembalasan pasti benar.”

Kedahsyatan hari pembalasan didedahkan kepada manusia melalui nama-nama yang sinonim dengannya. Menurut Syaikh Yusuf bin Abdullah Al Wabil bahwa Ibnu Kasir rohimahullah telah mengumpulkan lebih dari 80 nama untuk hari qiamat.
Antaranya ialah Yaumun Sa’ah (السَاعَةُ  )iaitu hari qiamat. Ini adalah kerana singkat/cepatnya waktu terjadinya hisab pada hari itu atau kerana hari qiamat mendatangi manusia dengan tiba-tiba, dan ketika itu semua makhluk mati hanya dengan sekali tiupan (sangkakala)
Melalui Firman Allah: إِنَّ السَّاعَةَ لَآَتِيَةٌ لَا رَيْبَ فِيهَا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya As Sa’ah (السَاعَةُ ) iaitu hari qiamat benar-benar akan terjadi, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tiada beriman terhadapnya. (Surah Al Mukmin ayat 59
Selain daripada itu ia juga dipanggil Yaumul Hasroh (يَوْمُ الْحَسْرَةِ) iaitu hari penyesalan, dalilnya adalah firman Allah daripada Surah maryam ayat 39:
وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ
“Dan peringatkanlah mereka akan Yaumul Hasroh (يَوْمُ الْحَسْرَةِ)/ hari penyesalan iaitu hari qiamat”
Hari qiamat disebut Yaumul Hasroh (يَوْمُ الْحَسْرَةِ) kerana hari tersebut merupakan hari penyesalan/kesedihan orang-orang kafir. Ada juga yang mengatakan disebut Yaumul Hasroh (يَوْمُ الْحَسْرَةِ) kerana pada hari tersebut orang yang melakukan kejahatan akan menyesal dan bersedih mengapa dahulu mereka ketika di dunia tidak melakukan kebaikan.
Hal ini ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Seorang anak Adam sebelum menggerakkan kakinya pada hari kiamat akan ditanya tentang lima perkara: (1) Tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya; (2) Tentang masa mudanya, apa yang telah dilakukannya; (3) Tentang hartanya, dari sumber mana dia peroleh dan (4) dalam hal apa dia membelanjakannya; (5) dan tentang ilmunya, mana yang dia amalkan. (HR. Ahmad)
Justeru, penghayatan terhadap hari pembalasan, sudah tentunya menjana kearah menjadi insan yang kamil, yang cemerlang di dunia dan juga cemerlang di akhirat.
Perlukah Kecemerlangan Di dunia?? Perlukah Kegemilangan Di Akhirat?? Ya, sangat-sangat perlu kerana apa yang kita mahukan  di dunia ini ialah  memperolehi kemenangan dalam setiap pertembungan, keuntungan dalam setiap aktiviti muamalat dan perniagaan dan kejayaan dalam setiap yang diceburi. Jika ini yang kita mahukan, sudah pasti kita akan diperolehi tapi jika akal tidak dipandu oleh iman, persoalan kemenangan, keuntungan dan kejayaan tidak akan timbul dalam benak pemikiran. Bahkan sebaliknya jika dipandu oleh iman maka persoalan tentang hari pembalasan (akhirat) ialah mardhotillah atau keredhoan Allah dan mengharapkan balasan syurgaNya dalam setiap tindakan kita semasa di dunia.

1.PENGHAYATAN TERHADAP HARI PEMBALASAN AKAN MELAHIRKAN INSAN YANG BERTAKWA KEPADA ALLAH

Penghayatan kepada hari Pembalasan menjadikan kehidupan manusia bahagia di dunia dan sejahtera di akhirat. Beriman kepada hari pembalasan mengkehendaki seseorang itu bertakwa kepada Allah swt dengan melaksanakan amalan fardu dan memperbanyakkan amalan sunat. Ibadat yang ditujukan dalam pengucapan:”Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in”sudah pastinya ditujukan semata-mata kerana Allah swt. Ini bermaksud hidup kita perlu ada visi yang sangat jauh. Segala apa yang dilakukan mesti difikirkan apa yang akan berlaku pada hari pembalasan nanti. Syurgakah atau Nerakakah? Dan apabila terfikirkan Syurga sudah tentu kita akan berusaha untuk mendapatkan rahmatNya kerana hanya dengan rahmatNya sahaja kita mampu menjadi penghuni Syurga. Dan apabila terfikirkan Neraka sudah tentu kita akan menjauhi segala yang mungkar dan apa jua yang Allah murkai kerana kita tahu apa jua murka Allah boleh menjauhkan kita daripada mendapat rahmatNya.
Firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah : 197

Yang bermaksud : “…dan berbekallah untuk hari akhirat sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah takwa dan bertakwalah wahai orang yang mempunyai akal fikiran.”
Ayat di atas menyuruh orang yang beriman supaya membuat persiapan secukupnya sebagai bekalan pada hari akhirat dengan melakukan perkara yang diperintah dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah swt.

2.PENGHAYATAN TERHADAP HARI PEMBALASAN AKAN MELAHIRKAN INSAN YANG KHUSYUK DALAM IBADAT

Penghayatan kepada hari Pembalasan juga akan melahirkan individu yang sentiasa khusyuk ketika menunaikan ibadat dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt. Orang yang khusyuk dalam ibadat adalah orang sentiasa ada perasaan takut kepada Allah swt dalam hatinya. Semua perkara baik yang dilakukan dengan niat kerana Allah dikira sebagai ibadah. Maka orang-orang yang mempunyai perasaan khusyuk dan takut kepada Allah dan hari pembalasan sudah pasti sentiasa cemerlang dalam ibadat nya. Sebagaimana Rasulullah saw bersabda maksudnya:
“Dan seseorang yang berzikir dalam keadaan sendirian maka berlinanganlah airmatanya (khusyuk dan takut kepada Allah)”. Hadis Riwayat al-Bukhari.
Tangisan itu sebenarnya membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan mampu mencelikkan mata hati untuk meneroka alam yang lebih jauh lagi iaitu alam ghaib, alam yang tidak nampak oleh mata kasar tetapi mampu dilihat dengan cahaya keimanan yang teguh. Keimanan dan penghayatan yang sehebat itulah memungkinkan ia menjana insan kamil.

3. PENGHAYATAN TERHADAP HARI PEMBALASAN AKAN MELAHIRKAN INSAN YANG BERAKHLAK MULIA

Penghayatan terhadap hari pembalasan juga dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia. Setiap insan yang benar-benar menghayati hari pembalasan akan sentiasa terbayang di dalam hatinya akan kedahsyatan balasan Allah akibat setiap perbuatan mereka semasa di dunia, demikian juga akan terfikir di dalam benaknya tentang kemanisan dan kelazatan anugerah ganjaran Allah bagi setiap amal kebaikan dan ketaatan yang dilakukan oleh hambaNya.
Oleh yang demikian sudah pastilah mereka amat mengharapkan anugerah terindah daripada Rabbul Izzati. Lalu semua itu akan mendorong mereka  sentiasa melakukan perkara yang bermanfaat dan menggunakan masa lapang, kekayaan dan kesihatan untuk menambahkan amal ibadat dan kebajikan. Mereka juga akan sentiasa berpakaian menutup aurat, kemas, bersih dan sopan. Dari segi akhlak, sudah tentulah mereka menjadi seorang yang mesra dan bersopan santun terutamanya dengan ibu bapa, guru, rakan dan orang yang lebih tua. Mereka juga akan tekun belajar dan memberi sumbangan ilmu serta mengajak orang lain melakukan  kebaikan.

4. PENGHAYATAN TERHADAP HARI PEMBALASAN AKAN MELAHIRKAN INDIVIDU YANG BERWAWASAN

Orang yang menghayati hari pembalasan mempunyai wawasan yang jauh ke hadapan. Mereka akan bersikap pro aktif dan sentiasa bersedia menerima dan melakukan perubahan. Antara falsafah hidup yang mereka pegang ialah “ besok mesti lebih baik daripada hari ini”. Peribadi seperti ini akan melahirkan kemajuan dan ketamadunan yang lebih hebat dan sesuai dengan perubahan zaman.

5. MELAHIRKAN INSAN YANG SENTIASA BERSEDIA DAN BERDISIPLIN

Orang yang benar-benar menghayati hari pembalasan akan menjadi seorang insan yang berdisiplin dalam setiap cabang kehidupannya. Sebagaimana mereka meyakini bahawa untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat ia mestilah didahulukan dengan disiplin yang tinggi untuk mematuhi setiap peraturan dan perintah Allah swt. Demikian juga dalam urusan duniawi.  Setiap perkara yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan perancangan dan persediaan yang rapi agar mencapai kejayaan. Orang yang berdisiplin sudah pasti akan memastikan diri mereka bersedia dengan ilmu yang mantap agar persediaan  dapat dilakukan dengan cara yang terbaik. Dengan demikian, apabila seseorang itu memiliki ilmu, berdisiplin dan sentiasa bersedia dalam apa jua tindakan sudah pasti ia adalah penjana kea rah menjadi insan kamil. 

PENUTUP:

Akhir sekali, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada semua yang hadir pada hari ini agar sama-samalah Kita hendaklah meyakini dan menghayati hari pembalasan kerana ia adalah pelengkap kitaran perjalanan hidup seseorang manusia. Kita hendaklah membuat persediaan yang cukup dengan segera melakukan amalan soleh untuk menghadapi hari pembalasan. Mudah-mudahan apa yang saya sampaikan ini berbuahkan amal bagi setiap peribadi dalam rangka untuk mempersiapkan diri kita ketika dibangkitkan pada hari yang amat agung itu  iaitu hari Pembalasan.

No comments:

Post a Comment