Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya majlis Restu Ilmu yang diadakan pada pagi ini merupakan satu simbolik semata, melambangkan ketulusan hati para guru yang telah bersusah payah dan bertungkus lumus menaburkan jasa dan menyuntik segala ilmu yang ada. Seawal dari bergelar sebagai insan guru yang menjawat profesion seorang pendidik, doa dan restu sentiasa mengiringi pelajar bersama langkah dan tutur bicaranya.
Besok 5 hb Oktober 2010 merupakan hari pertama peperiksaan berlangsung.Walaupun agak berat untuk melepaskan para pelajar ke dewan peperiksaan kerana dirasakan masih terlalu banyak yang ingin disampaikan, masih terlalu banyak yang ingin diberikan, namun siapalah kita...Kita terpaksa akur jua kepada ketetapan masa yang sudah tiba. Berbekalkan segala yang telah diusahakan maka kini tibalah masanya untuk kita menjadi hambaNya yang bertawakkal kepada Allah SWT.
Maka kami para guru sentiasa mendoakan dan merestui segala apa yang disampaikan dan diajarkan kepada para pelajar semua. Bawalah segala ilmu yang diberikan dan ditunjukajarkan oleh guru-guru ke dewan peperiksaan dengan jayanya disamping beramallah dengan ilmu yang dipelajari demi mengejar kejayaan ukhrawi jua.
Sebuah puisi khas buat anak-anak pelajar semua...hayatilah dan jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk mencipta sebuah kejayaan buat diraikan bersama keluarga, ibu bapa tercinta dan juga guru-guru yang menumpang rasa gembira.
ANDAI KAU TAHU
ANDAI KAU TAHU
Andai kau tahu...
Ada segunung harapan di hati guru,
Ada sejuta semangat dalam langkah guru,
Ada selangit impian dalam mimpi guru,
Untuk kau berjaya.
Andai kau tahu....
Dalam diam guru, berombak selaut resah,
Dalam tawa guru, berderai serelung gelisah,
Dalam bicara guru, berantai seribu doa dan pasrah,
Agar kau berjaya.
Andai kau tahu...
Guru juga punya perasaan,
bukan cuma punya impian.
Andai kau tahu...
Guru hanya manusia walang,
bukan malaikat, apa lagi Tuhan,
punya khilaf dan juga kelemahan.
Andai kau tahu...
Sayang guru tiada sedikitpun rasa dendam,
Marah guru lantaran masihnya ada rasa sayang,
Rajuk guru kerana mohon pengertian,
agar kau cemerlang,
agar punya cita dan wawasan.
Andai kau tahu,
berkatnya Ilmumu kerana keikhlasan menerima ajaran seorang guru,
sayangnya Allah kepadamu kerana kerendahan hati menerima teguran seorang guru,
kerana siapalah kamu dan kita semua tanpa tunjuk ajar seorang guru.
SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR 2010...SEMOGA BEROLEH KEJAYAAN YANG CEMERLANG ....
No comments:
Post a Comment