Friday, October 22, 2010

Sedekah si isteri...

Alangkah beruntungnya sesiapa yang mampu bersedekah dan sentiasa bersedekah.Tujuan catatan kali ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajak semua para pembaca ruangan ini  menghayati dan merenungi betapa luasnya maksud sedekah. 

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah (r.a) beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Setiap sendi ditubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan diantara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti dijalan juga adalah sedekah.

Maka, rentetan daripada Sabda Baginda Rasulullah SAW tersebut dapatlah kita simpulkan betapa luas dan terbukanya konsep sedekah.(untuk mendalami konsep sedekah klik di sini) Itu baru salah satu daripada Sabda Baginda Rasulullah SAW, belum lagi dibawakan Sabdanya yang lain, maksud sedekah sudah cukup luas untuk difahami.

Jika diteliti dan dihalusi, sumbangan golongan ibu atau isteri dalam rumahtangga juga dapat dikaitkan dengan konsep sedekah yang luas ini. Dalam dunia hari ini yang rata-ratanya wanita yang bergelar isteri atau ibu turut membantu dalam meningkatkan ekonomi keluarga mereka. Walaupun mereka menyedari tugas dan tanggungjawab tersebut adalah tugas hakiki si suami. Namun atas dasar 'membantu suami' maka si isteri turut meluangkan masa dan memerah tenaga mereka untuk sama-sama berkerja. Tidak kiralah apa sekalipun pekerjaan mereka, sama ada berkerja dengan kerajaan, atau swasta atau ramai juga yang memilih bekerja sendiri seperti menguruskan kedai makanan, kedai runcit, menjual sayur-sayuran dan sebagainya. Pendek kata apa sahaja yang halal dan mendatangkan keuntungan, itulah yang cuba diceburinya.

Dalam soal ekonomi keluarga, alangkah mulianya si isteri jika hasil usahanya dibelanjakan untuk kegunaan sekeluarga. Inilah yang dinamakan sedekah si isteri. Apa sahaja yang dibelanjakan untuk sekeluarga bagi seorang isteri, itu adalah sedekah jariahnya, bukan tanggungjawabnya. Si isteri berhak untuk membelanjakan atau pun tidak membelanjakan hasil usahanya. Namun kebanyakan wanita yang bergelar isteri yang solehah, tidak akan mengambil kira sama sekali soal-soal sumbangannya terhadap keluarga. Apa yang penting ialah kesejahteraan keluarganya. Dan bagi si suami pula, janganlah mengambil kesempatan di atas kebaikan isterinya. InsyaAllah, jika ini berlaku sesebuah keluarga tersebut akan menjadi sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni kerana berkatnya 'sedekah' si isteri dan bersyukurnya si suami dengan kewujudan isteri yang solehah. Apa yang penting, kehidupan berkeluarga mesti terisi dengan ruh Islamiyah, saling faham-memahami dan bertolak ansur.

Mungkin bagi isteri yang berkerja, tugasnya sedikit bertambah berbanding dengan isteri yang tidak berkerja. Maka walau dengan apa cara sekalipun, bagi memastikan semua peringkat kehidupan yang dijalani akan membawa kepada 'sedekah' maka mereka seharusnya lebih bijak menyusun peraturan dan jadual kehidupan keluarga mereka. Agar ianya berjalan sebagaimana yang diinginkan, tanpa sebarang rungutan dan keluhan. Jika semua ini terjadi, maka teramatlah beruntungnya keluarga yang sentiasa mengamalkan konsep 'bersedekah' ini.

Bersedekah untuk keluarga, bukanlah hanya dinilai daripada pengorbanan wang ringgit semata. Bagi isteri yang tidak berkerja juga turut berpeluang untuk 'bersedekah, mungkin dalam bentuk menguruskan anak-anak dengan baik dan menyediakan keperluan suami dengan sempurna. Menjaga hati suami juga adalah sedekah. Pendek cerita, semua kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas akan diklasifikasikan sebagai sedekah. Maka teramatlah beruntungnya orang yang banyak bersedekah.


No comments:

Post a Comment