Setelah berbulan-bulan tidak berkesempatan menjenguk ke laman blog ini, lantaran kesihatan yang kurang mengizinkan, hari ini cuba juga digagahi menapak semula di ruang yang sangat dirindui ini. Terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi bersama...Namun, ia hampir tersimpan saja di benak hati... Inilah kita manusia, cukup lemah dan sangat tidak berkuasa... Meskipun impian tinggi menggunung, namun jika tidak diizinkan oleh Allah mana mungkin kita dapat menggapai impian tersebut.
Hari ini saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi sedikit kekuatan dari kelemahan dan kelesuan yang masih membelenggu diri. Bukan mengeluh lantaran kesihatan yang kurang baik, namun keredhaan tetap menguasai diri...sabar menempuh saki baki penantian yang cukup bermakna....penantian untuk suatu kelahiran. Dan tahun ini bakal menempa suatu sejarah 'baru' buat diri ini.
Sejarah yang paling awal diterima seawal sambutan 2011 kali ini ialah sejarah pertukaran tempat bertugas iaitu dari SMK Pak Badol ke SMK Putri Saadong yang jaraknya 3 kali ganda dekatnya dengan tempat tinggal. Alhamdulillah, syukur kepada Allah...walaupun tanpa permohonan pertukaran secara rasmi, namun Tuhan memakbulkan doa yang sentiasa terselit disudut hati...'agar dipermudahkan segala urusan'.... Syukur sangat-sangat....Ia adalah suatu catatan sejarah yang paling manis di sepanjang perkhidmatan sebagai pendidik.
Barangkali, oleh kerana pertukaran ini, nama blog ini yang sebelumnya dikenali sebagai "PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SMK PAK BADOL" pun terpanggil untuk ditukar kepada " PANITIA PENDIDIKAN ISLAM DARUL NAIM". Pertukaran nama laman ini difikirkan sedemikian agar lebih relivan dengan pengendalinya...Mudah-mudahan masih diterima oleh rakan pengunjung laman ini...
Kembali kepada sejarah 'baru' yang bakal tercatat juga merupakan suatu anugerah yang paling bernilai. InsyaAllah pada awal Mei 2011, sebuah penantian selama hampir 10 tahun bakal berakhir dengan sebuah kelahiran yang diharapkan berlaku dengan selamat dan sejahtera hendaknya.
Itulah sebenarnya yang berlaku sepanjang kelesuan laman ini. Namun hari ini, seawal pagi tadi ekoran aktiviti P&P dengan pelajar 2PDG1 di SMK Putri Saadong berkisar tajuk Asma al-Husna, maka saya terpanggil juga untuk merakamkan sesuatu sebagai perkongsian ilmu dengan kalian semua.
Sama-sama kita renungkan dan amalkan keindahan dan kelebihan yang terdapat dalam Asma al-Husna.
INDAHNYA ASMA AL-HUSNA
1. ALLAH
- Jika membaca ‘Ya Allah’ sebanyak 5000 kali setiap malamselama sebulan dengan hati yang khusyuk dan tawaduk lagi merendahkan diri kepada Allah, insyaAllah apa yang kita inginkan dan hajatkan akan terkabul dan berhasil.
- Barang siapa berzikir dengan nama ini seperti disebutnya ‘Ya Allah’tiap-tiap hari 5000 kali, insyaAllah, datang kepadanya rezeki daripada tiap-tiap pihak.
- Barang siapa berzikir dengan membaca ‘Ya Allah’ tiap-tiap lepas sembayang fardhu 66 kali sampai 66 hari, insyaAllah jadi baginya sebutan yang besar dan kebaikan yang banyak pada ilmu duniawi dan ukhrawi. Adalah lebih baik pula diamalkan terus pada setiap hari.
- Barang siapa berzikir dengan sebutan lafaz ‘Ya Allah Ya Haiyu’ pada setiap hari 1000 kali, insyaAllah diberi ia kesempurnaan yakin.
- Barang siapa berzikir dengan sebutan lafaz ‘Ya Allah Ya Haiyu’ pada setiap hari Jumaat sebelum sembahyang Jumaatdengan suci daripada hadas dan najis dan hadir hati (khusyuk)100 kali, insyaAllah dimudahkan baginya segala yang dituntut dan diperjuangkan.
2. AR-RAHMAN
- Barang siapa berzikir dengan membaca ‘Ya Rahman’ tiap-tiap hari 100 kali tiap-tiap selepas sembahyang 5 waktu, insyaAllah keluar dari hatinya lupa dan lalai dengan izin Allah Ta’ala.
- Barang siapa yang mengulangi menyebut ‘Ya Rahman’ 100 kali setiap kali selepas sembahyang fardhu, insyaAllah akan memperoleh ingatan yang baik, kesedaran yang mendalam, memiliki hati yang bersih dan mudah hati.
3. AR-RAHIIM
- Barang siapa berzikir dengan menyebut ‘Ya Rahiim’ tiap-tiap hari 100 kali, insyaAllah dijadikan hatinya lembut dan kasih sayang akan makhluk.
- Barang siapa takut jatuh kepada sesuatu yang dibencinya akan dia, lalu berzikir dengan membaca ‘Ya Rahmannu-Ya Rahiim’ 100 kali, insyaAllah diamankan ia daripada kejahatan barang yang dibencinya itu.
- Barang siapa yang mengulangi menyebut nama ini 100 kali selepas sembahyang subuh, insyaAllah akan mendapati setiap orang berbaik hati, mesra dengannya dan suka menolong bila dalam kesusahan.
4. AL MALIK
- Barang siapa berzikir dengan menyebut ‘Ya Malik’ pada setiap masa akan dihormati, disegani dan menerima layanan yang wajar daripada orang lain.
- Barang siapa berzikir dengan menyebut nama ‘Ya Malik’ tiap-tiap hari kemudian daripada fajar atau ketika gelincir matahari sebenyak 121 kali, insyaAllah dikayakan akan dia dengan sebab atau dengan pintu yang dibukakan Allah baginya.
5. AL QUDDUS
- Barang siapa berzikir dengan membaca ‘Ya Quddus’ tiap-tiap hari ketika gelincir matahari 100 kali, insyaAllah menjadi bersih hatinya dari rasa sombong, rakus, dengki, iri hati, dendam dan seumpamanya.
- Barang siapa berzikir dengannya 1000 kali, insyaAllah diselamatkan dia dari bala bencana.
- Hati siapa yang mengulangi menyebut nama ini 100 kali setiap hari, insyaAllah akan terlepas dari segala kebimbangan dan kecemasan.
6. AS SALAAM
- Barang siapa yang mengulangi menyebut nama ini sebanyak 160 kali kepada orang yang sedang sakit, insyaAllah akan dapat menolong pesakit itu sembuh.
- Apabila dibacakan akan dia di kepala orang yang sakit dengan nama ‘Ya Salaam’ sebanyak 121 kali atau 136 kali dengan suara nyaring sekira-kira didengar oleh orang yang sakit itu dan dengan mengangkat dua tangan, insyaAllah disembuhkan akan dia dengan kurnia Allah selama tidak hadir ajalnya atau dikurangkan daripada sakit itu.
- Barang siapa membaca ‘Salaam Mualaika Aiyuhan Nabiyu Warrahmatullah Hiwabarakatuh’ tiap-tiap hari sebanyak 100 kali, insyaAllah tidak berasa ia akan sakaratulmaut (kesukaran menghadapi maut yang akan berpisah dari badan) dan menjadi mudah perkerjaan tidak jatuh ia pada kepayahan dengan izin Allah.
- Barang siapa membaca pada musim penyakit melanda dengan bacaan Salaam Kau min Rabbir Rahim’ tiap-tiap hari sebanyak 28 kali, insyaAllah selamat ia daripada penyakit itu.
7. AL MUKMIN
- Barang siapa mengulangi menyebut ‘Ya Mukmin’ ini, insyaAllah akan terselamat dari sebarang bencana.
- Apabila berzikir dengan nama ini oleh orang yang dapat takut dari sesuatu dengan membaca 136 kali, insyaAllah aman dia, dirinya dan hartanya daripada perkara yang ditakutinya itu.
- Apabila berzikir dengan dia oleh orang yang aman, insyaAllah bertambah-tambah imannya.
8. AL MUHAIMIN
- Barang siapa yang menyebut berulangan ‘Ya Muhaimin’ dan selalu membersihkan diri dengan wuduk, insyaAllah keadaan batin dan jiwanya akan selalu disinari cahaya (bersinar/terang).
- Barang siapa berzikir dengan nama ini 100 kali kemudian daripada mandi dan sembahyang 2 rakaat serta hadir hati berhadap bagi Allah, insyaAllah dibersihkan zahirnya dan batinnya dan tetap nur di dalam hatinya.
- Barang siapa mengekali berzikir dengan dia kemudian daripadasembahyang Isyak 145 kali, insyaAllah kuat hafaznya dan ingatannya menjadi baik.
9. AL `AZIZ
- Barang siapa yang mengulangi menyebut nama ‘Ya `Aziz’ ini 40 kali selepas sembahyang Subuh selama 40 hari berturut-turut, insyaAllah akan terlepas daripada pergantungan pada orang lain.
- Barang siapa berzikir dengan nama ini 40 kali selama 40 hari dan yang terlebih baik kemudian daripada sembahyang Subuh, insyaAllah dikayakan dan di muliakan akan dia dan tidak dihajatkan akan dia kepada seseorang daripada makhlukNya.
10. AL JABBAAR
- Barang siapa yang mengulangi nama ‘Ya Jabbaar’ maka terpelihara ia daripada membuat sesuatu yang bertentangan dengan larangan Allah dan terselamat dari kejahatan, kekerasan, kesulitan atau paksaan.
- Barang siapa berzikir dengan dia seperti dikatakannya ‘Ya Jabbaar’ dalam amal ibadat sehari-hari sebanyak 206 kali atau 260 kali pagi dan petang, insyaAllah tidak kuasa segala orang zalim mahu menzaliminya dan jika mereka itu perbuat juga akan dia, Allah balaskan seksa baginya.
No comments:
Post a Comment