Sunday, August 8, 2010

Panduan Ibadat Puasa

Allah berfirman yang bermaksud; "Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepadamu mengerjakan puasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu dari kamu, supaya kamu terpelihara dari kejahatan." (surah Al Baqarah: 183)
Di dalam Islam, puasa termasuk di antara ibadat-ibadat yang mendidik jasmani dan rohani. Menurut Syarak, puasa ialah meninggalkan makan, minum, merokok dan segala yang membatalkannya dari terbit fajar sadik hingga terbenam matahari. 
 
Dari segi rohani, puasa akan mendidik jiwa manusia bersifat sabar, sanggup menghadapi kesukaran dan penderitaan untuk meningkatkan nilai rohani manusia. Dengan berpuasa seseorang dapat melatih dan mendidik diri untuk mengatasi kebiasaan dan menolongnya menguasai jasmaninya serta melengkapkan diri dalam menghadapi kerumitan-kerumitan dan krisis-krisis di dalam kehidupan seseorang.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang maksudnya: "Kami kaum yang tidak akan makan kecuali lapar dan apabila makan, kami tidak makan hingga kenyang."

SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
Orang-orang yang wajib mengerja-kan puasa Ramadan adalah seperti berikut:
1. Beragama Islam.
2. Sudah cukup umur (baligh).
3. Berakal; orang gila tidak wajib.
4. Berdaya mengerjakannya.
5. Bermukim (tinggal tetap dalam negeri).
SYARAT-SYARAT SAH PUASA 
Seseorang yang ingin mengerjakan puasa sama ada puasa Ramadan atau puasa-puasa sunat mestilah melengkapi syarat-syarat yang berikut:
1. Beragama Islam
2. Berakal bukan gila.
3. Mumaiyiz (Kanak-kanak yang dapat membezakan antara baik dan buruk iaitu berumur di antara 6 dan 7 tahun).
4. Suci dari haidh, nifas dan wiladah bagi orang-orang perempuan
5. Hari-hari yang dibolehkan berpuasa padanya.
6. Hari-hari yang dilarang berpuasa ialah:
a. 1 Syawal (Hari Raya AidilFitri).
b. 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha).
c. 11, 12, 13 Zulhijjah.
d. 30 Syaaban.
RUKUN PUASA
Niat Puasa
Niat puasa boleh dibaca di dalam bahasa yang difahami oleh seseorang Muslim itu.
"Sengaja aku berniat puasa esok hari untuk menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala." 
Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa :
1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Makan, minum, merokok membatalkan puasa.
2. Muntah dengan sengaja; muntah yang tidak dengan sengaja tidak membatalkan puasa.
3. Mengeluarkan air mani.
4. Melakukan jimak (hubungan jenis) pada siang hari.
5. Kedatangan haidh, nifas atau wiladah.
6. Menjadi gila.
7. Pitam sepanjang hari.
8. Mabuk sepanjang hari.
9. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.
SUNAT PUASA 
1. Makan sahur walaupun sedikit. Riwayat dari Annas, katanya Rasulullah saw bersabda:
"Bersahurlah kamu, kerana bersahur itu ada berkatnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Rasulullah SAW telah bersabda: "Makanlah sahur kerana ia menolong menguatkan kamu berpuasa pada siang hari." 
2. Melambatkan makan sahur, tetapi janganlah hingga terbit fajar Riwayat dari Abi Dzar ujarnya: "Sentiasalah umatku dalam kebajikan selama mereka melambatkan sahur dan mencepatkan berbuka." 
3. Menyegerakan berbuka puasa Abi Zar meriwayatkan:
"Bahawa Nabi saw pernah bersabda: Umatku akan tetap segar-bugar, selama mereka melambatkan makan sahur dan berbuka dengan segera." 
4. Berbuka dengan buah tamar atau air sejuk Diriwayatkan dari Annas:
"Rasulullah saw berbuka sebelum solat dengan rutab (korma mengkal) kalau tidak ada. Baginda berbuka dengan tamar (korma biasa) dan jika tidak ada tamar Baginda minum dengan beberapa teguk air."
  
MAKRUH PUASA
Merasa makanan dengan lidah Bergurau senda dengan isteri Menggosok gigi selepas tergelincir matahari Berkumur-kumur berlebihan Mengulum sesuatu benda.
----------------------------------------------------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment